Terlepas hukuman Ngah_Jabor

Difahamkan bahawa Ngah Jabor, Kulup Ali, Si Tuah dan Panjang Bur yang mengaku terlibat dalam konspirasi pembunuhan J.W.W Birch telah dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah British di Perak atas tuduhan bersubahat dalam pembunuhan J.W.W Birch. Manakala Pandak Indut didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 20 Mei 1876. Pada 20 Januari 1877, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan Pandak Indut pula dihukum gantung sampai mati.[13]

Namun, buku Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921) diceritakan bahawa sesetengah orang berpendapat Ngah Jabor telah dibebaskan dari penjara secara senyap-senyap oleh Raja Idris apabila baginda menjadi Sultan pada tahun 1887.[14]. Dakwaan ini diperkuatkan lagi dengan maklumat yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kampar iaitu menyebut "Berdasarkan artikel Datuk Hashim bin Sam Abdul Latiff, penempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan peristiwa pembunuhan J.W.W Birch sebagai Residen British di Perak kerana Ngah Jabor sebagai peneroka awal Kampar adalah seorang yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, yang lain-lainnya termasuklah Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Putum dan sebagainya. Bagaimanapun Ngah Jabor terlepas dari sebarang hukuman apabila Raja Idris (Dris) yang kemudiannya menjadi Sultan Perak pada tahun 1887 menjadi Hakim mengadili orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch pada tahun 1876".[15]